Thursday, February 24, 2011

Contoh Karangan Bahagian A


Soalannya : Gambar di bawah ini menunjukkan kelebihan memiliki talian internet di kediaman rumah. Huraikan pendapat anda tentang manfaat kemudahan internet di rumah. Panjangnya huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

KARANGAN BERPANDU BAHAGIAN A

TAJUK/ TEMA : MANFAAT KEMUDAHAN INTERNET DI RUMAH

Saban hari penggunaan internet semakin gemari oleh setiap lapisan masyarakat di negara kita. Tahukan anda bahawa penggunaan internet di negara kita ibarat cendawan tumbuh selepas hujan (UM) kerana pertambahan penggunaannya amat ketara sama ada di kawasan bandar mahu pun di kawasan luar bandar. Penggunaan internet juga bertambah dalam kalangan rakyat di negara kita disebabkan wujudnya rangkaian jaringan sosial seperti Facebook, Friendster, My Space dan Tagged dalam internet yang semakin meluas. Bahkan, negara kita tersenarai dalam sepuluh negara yang paling banyak menggunakan jaringan sosial iaitu Facebook. Sedar atau tidak, penggunaan internet juga telah sampai di segenap desa apatah lagi selepas wujudnya teknologi ‘3G’. Apa yang pasti, kajian telah menunjukkan bahawa satu daripada sepuluh buah rumah di negara kita menggunakan kemudahan internet untuk pelbagai tujuan. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa pelbagai manfaat dapat diperoleh daripada kemudahan penggunaan internet di rumah sekaligus mengubah ajakan paradigma masyarakat dalam era teknologi maklumat kini.

Salah satu daripada manfaat penggunaan internet di rumah ialah dapat mencari dan mengumpul maklumat dalam masa yang singkat. (Ayat isi) Hal ini kerana dalam era globalisasi ini segala maklumat sama ada formal atau tidak formal telah dimuat naik dalam rangkaian internet oleh pelbagai pihak dengan cepat sehingga mengalahkan media cetak seperti surat khabar. (Ayat huraian) Dalam soal ini, pengguna hanya perlu menaip sahaja maklumat yang dikehendaki dalam carian enjin google atau yahoo dan segala maklumat yang diperlukan akan tertera di skrin komputer. (Ayat huraian) Malah, setiap maklumat yang kita dapat peroleh dapat dinilai dan dibandingkan sumber mana yang lebih tepat. (Ayat huraian) Sebagai contoh, jika kita ingin mencari maklumat berkenaan berita terkini di akhbar, kita akan memperoleh banyak maklumat kerana hampir semua akhbar telah dibuka atas talian seperti Utusan Malaysia Online, Berita Harian Online, Malaysia Kini dan News Strait Times. (Ayat contoh) Perkara ini secara tidak langsung memudahkan kita mengumpul maklumat daripada pelbagai sumber. (Ayat huraian) Oleh itu, kita dapat mencari maklumat di rumah dengan mudah sahaja apabila adanya kemudahan internet. (Ayat penutup)

Selain itu, kita juga dapat menyelesaikan pelbagai bil dan urusan perbankan melalui kemudahan internet di rumah (Ayat isi). Kini, kehidupan masyarakat kita di bandar sangat sibuk dek tekanan tempat kerja dan kesesakan lalu lintas sebelum serta selepas pulang dari pejabat. (Ayat huraian) Jadi, kesuntukan masa yang dialami ini amat menyusahkan apabila mereka hendak menguruskan hal-hal berkaitan rumah tangga dan pembayaran pelbagai bil. (Ayat huraian). Melalui penggunaan internet di rumah, kita dapat menyelesaikan pelbagai bayaran bil dan urusan perbankan sambil minum kopi dan berbual bersama-sama ahli keluarga di rumah. (Ayat huraian) Perkara ini dapat dibuktikan apabila banyak bank seperti Maybank, CIMB Bank, Agro Bank dan RHB Bank menyediakan perniagaan secara ‘online’ di internet kepada para pelanggan untuk memindahkan wang ke dalam akaun lain dan menyimpan wang secara ‘online’, begitu juga dengan pembayaran bil kad kredit. (Ayat Contoh) Pembayaran bil elektrik, bil air dan bil telefon juga dapat dibayar dengan penggunaan internet di rumah melalui laman web kerajaan iaitu myeg.com. (Ayat contoh). Pendek kata, kita dapat menguruskan pembayaran bil dan urusan perbankan di rumah melalui internet sekaligus menjimatkan masa kerana masa itu emas.(UM) (Ayat penutup)

Di samping itu, manfaat penggunaan internet di rumah dapat memudahkan kita berkomunikasi di antara jarak jauh dan dekat malah merentasi lautan seantero dunia. (Ayat isi). Hal ini kerana terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di internet untuk tujuan komunikasi. (Ayat huraian) Malah, syarikat gergasi telekomunikasi berlumba-lumba membuka laman web mereka untuk memudahkan pengguna berkomunikasi di internet. (Ayat huraian) Berkomunikasi di internet bukan sahaja melibatkan suara orang yang dihubungi malah kita dapat bersua muka dan melihat wajah kenalan atau individu yang baru kita kenali dengan hanya duduk di kerusi dan mengadap komputer serta tangan bermain dengan tetikus melalui beberapa klik. (Ayat huraian). Perkara ini amat memberi kebaikan kepada ahli keluarga yang jauh meninggalkan keluarga untuk bekerja dan belajar di luar negara seperti di Asia Barat dan Eropah. (Ayat huraian) Mereka hanya perlu mengakses aplikasi ‘yahoo mesengger’ untuk berkomunikasi bagi melihat wajah dan mendengar suara ahli keluarga yang jauh bagi melepaskan kerinduan. (Ayat contoh) Ringkasnya, penggunaan internet di rumah bermanfaat untuk berkomunikasi jarak jauh. (Ayat penutup)

Kesimpulannya, penggunaan internet di rumah mendatangkan pelbagai manfaat berguna kepada masyarakat. Oleh itu, masyarakat di negara kita perlu memanfaatkan penggunaan internet di rumah kerana melalui penggunaan internet segala maklumat berada di hujung jari anda.(UM) Apa yang pasti, internet mampu memberikan seribu satu macam kemudahan kepada pengguna jika digunakan sebaiknya. Dalam era serba moden ini, penggunaan internet seakan tidak dapat dipisahkan lagi dengan kemajuan negara sekarang. Jadi, pihak kerajaan perlu mendidik masyarakat menggunakan internet bagi melahirkan generasi celik IT sekaligus setanding dengan masyarakat negara maju lain seperti Jepun demi mencapai wawasan 2020. Selain itu, ibu bapa juga tidak ketinggalan perlu mendidik anak-anak mempelajari internet di rumah kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. (UM) Akhirul kalam, tidak dapat dinafikan bahawa kemudahan internet di rumah memberi pelbagai faedah kepada kita.

[500 patah perkataan]

Thursday, February 17, 2011

Taktikal Peperangan Saladin dengan King Richard The Lion Heart di Sungai Nil

Sumber dipetik daripada laman web Youtube - Broadcast

Menyelusuri Kehidupan Remaja Kini Daripada Aspek Ketamadunan Manusia


Alhamdulillah,
Kita sebagai warganegara Malaysia yang hidup selepas negara "menikmati" zaman kehidupan yang amat memeritkan akibat kegagalan proses ketamadunan unggul yang sepatutnya dikekalkan. Apa yang pasti, kita wajib bersyukur dan sedar atas nikmat yang kita kecapi. Menyingkap soal kehancuran satu-satu tamadun, perkara ini berakar umbi apabila rasa dengki manusia, tamak, marah, memperhambakan diri dalam budaya hedonisme dan termakan hasutan bisikan sekular yang mula dicipta semasa zaman pemulihan di Itali, semua tamadun dunia rebah akibat implikasi tersebut. Negara kita pada asasnya jauh bezanya pada tahun 1957 dengan 2011.

Remaja adalah aset negara atau kata lainnya modal insan yang amat bernilai untuk menjadi pewaris pada masa akan datang. Tanggungjawab mencorakkan kehidupan sosial negara sudah pasti berada tepat di bahu mereka. Pernah ditanya oleh para sahabat kepada Rasulullah,bagaimankah rupa atau keadaan pada masa generasi akan datang, maka Rasulullah, lihat kehidupan anak-anak untuk melihat kehidupan akan datang. Perkara jelas membuktikan manusia yang hidup beribu-ribu tahun daripada kita memberikan fakta tepat tentang pentingnya kekuatan sahsiah dan akhlak para remaja.

Kini, sering kali kita mendengar tentang perihal negatif atau kelakuan remaja di luar batasan manusia yang bukan lagi diterima dengan rasa janggal malah ada sebahagian besar masyarkat menganggapnya satu kebiasaan. Untuk menyedapkan hati dan membutakan mata serta memekakkan telinga, kedengaran suara mengatakan bahawa perilaku tersebut hanya dilakukan oleh segelintir remaja. Suara ini sangat melucukan apatah lagi perilaku negatif remaja sentiasa tertulis di dada-dada akhbar malah di kaca televisyen malah daripada mulut ke mulut hampir setiap masa.

Remaja pada masa kini, negatifnya:
1. Menjadi hamba cinta iblis dan nafsu akibatnya:
Berzina, Bercumbu di khalayak ramai, seks bebas dan buang bayi
2. Lemas dalam era globasisasi
Mengutamakan hiburan sehingga melaung-laung bila disingkirkan apabila gagal dalam dunia hiburan, aurat tidak hiraukan malah menjadi keseronokan bila tubuh badan dilihat oleh orang ramai. budaya kuning yang menjadi teras dalam hidup. mengikut sesuatu yang jahil membabi buta.

Terima kasih diucapkan kepada para remaja yang terhindar daripada perilaku ini. Jadi, kita perlu berdoa agar kerosakan perilaku remaja dapat dihapuskan agar kita tidak berada di zaman kehancuran tamadun.

Fikirkanlah jalan penyelesaiannya, kita sebagai individu yang berfikir menggunakan akal yang waras berlandaskan agama Islam.

"Belajarlah daripada Sejarah kerana Sejarah tidak pernah menipu"

Monday, January 10, 2011

Contoh Karangan Rencana


Soalan 3.

Memandangkan jumlah rakyat Malaysia yang merokok terus meningkat dari semasa ke semasa, anda telah diminta untuk menulis sebuah rencana yang bertajuk “Kesan-kesan tabiat merokok dan langkah-langkah untuk menanganinya”.

Tulis rencana itu selengkapnya.

KARANGAN RENCANA

“Kesan-kesan Tabiat Merokok dan Langkah-langkah Untuk Menanganinya”

Oleh : Lim Teng Peng

Kempen ‘Tak Nak’ Merokok acap kali menjadi polemik di media massa sama ada media cetak mahupun media elektronik. Namun, apa yang menyedihkan, semakin banyak kempen diadakan semakin ramai pula para remaja terlibat dalam gejala merokok. Umum tahu bahawa di sebelah kotak rokok sudah dijelaskan secara terang-terangan bahawa bahaya merokok tetapi perkara tersebut dipandang sebelah mata sahaja oleh para perokok. Malah, gambar penyakit akibat merokok yang tertera di kotak rokok juga tidak diendahkan sama sekali. Sememangnya, gejala merokok tiada satupun kebaikan malah 100% mempunyai kesan negatif yang memudaratkan penagihnya. Jadi, semua pihak perlu mengambil pelbagai langkah yang proaktif bagi menangani masalah ini daripada menjadi duri dalam daging sepanjang masa.

‘Merokok membahayakan kesihatan’ itulah slogan yang sering kita dengar akan bahana daripada perbuatan menghisap rokok. Perkara ini terjadi kerana bahan yang digunakan untuk membuat rokok terdiri daripada pelbagai bahan kimia seperti racun tikus, tar, nikotin, tembakau, dan sebagainya. Apabila manusia merokok, segala bahan kimia yang terdapat di dalam rokok akan bertindak balas dengan tubuh badan manusia yang terdiri daripada organ-organ yang amat penting. Sebagai contoh, anggota mula-mula yang bertindak balas dengan rokok ialah mulut. Kesan bahan kimia kepada mulut sahaja boleh mengakibatkan pelbagai penyakit seperti gigi menjadi kuning, bibir menjadi biru dan kanser mulut. Penyakit lain seperti asma, sakit jantung, barah otak, angin ahmar dan migrain antara penyakit yang dibuktikan akibat gejala merokok. Jadi, merokok secara jelasnya menyebabkan kesihatan manusia terjejas.

Selain itu, gejala merokok juga menyebabkan pembaziran wang yang keterlaluan berlaku dalam kalangan perokok. Hal ini kerana, setiap tahun pihak kerajaan akan sentiasa menaikkan harga rokok melalui belanjawan yang dibentangkan di parlimen. Walau bagaimana, para perokok tidak mempedulikan harga rokok meningkat mahal kerana mereka telah ketagih. Tidak dapat tidak, mereka akan mengusahakannya bagi mendapatkan rokok. Misalnya, bagi golongan perokok yang sudah berkeluarga sudah pastinya mereka tetap merokok walaupun menjejaskan perbelanjaan isi rumah. Begitu juga pelajar sekolah, mereka sanggup mengikat perut semata-mata ingin menyedut asap yang berpenyakit itu. Dalam agama Islam sudah diterangkan bahawa membazir adalah amalan syaitan tetapi masyarakat tidak mengendahkannya seperti masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Pendek kata, menghisap rokok merupakan perkara yang nyata membazir dan merugikan wang.

Sedar atau tidak, kesan perbuatan merokok juga bukan sahaja kepada individu yang merokok malah tempiasnya turut terkena kepada individu yang tidak merokok di sekeliling mereka. Hal ini kerana asap rokok yang dilepaskan di udara akan dihidu oleh orang yang berada di sekeliling perokok. Asap yang dihidu juga membawa bahan kimia memberi kesan kepada kesihatan orang lain. Buktinya dalam sesebuah keluarga, jika seorang bapa merokok maka si ibu dan anak-anak berkemungkinan besar mendapat penyakit seperti batuk dan asma kerana berada dalam lingkungan si bapa yang merokok. Kajian juga memperlihat bahawa perokok pasif iaitu orang yang tidak merokok berisiko mendapat penyakit daripada asap rokok lebih tinggi daripada perokok. Teguran kepada para perokok supaya berhenti merokok seperti ‘mencurahkan air ke daun keladi’ walhal perbuatan mereka nyata menyusahkan orang ramai.

“Setiap penyakit pasti ada ubatnya”. Oleh itu, untuk mencegah tabiat merokok daripada menular pasti ada caranya. Antaranya ialah pihak kerajaan seharusnya mengubal dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan rokok. Hal ini penting bagi mengekang para remaja dan orang dewasa merokok. Pihak kerajaan patut menggubal undang-undang baru dan menubuhkan badan khas bagi menjalankan tugas menguatkuasa untuk mengurangkan masalah ini. Sebagai contoh, pihak kerajaan wajar mengenakan hukuman penjara kepada mana-mana pemilik kedai yang menjual rokok kepada remaja yang berumur 18 ke bawah bukan setakat denda wang ringgit sahaja melalui kerjasama semua pihak. Selain itu, undang-undang lebih tegas juga dikenakan kepada golongan dewasa yang merokok di tempat awam seperti bayaran kompaun yang lebih tinggi dan perlu dibayar serta merta melalui badan penguatkuasa yang ditubuhkan. Dengan penguatkuasaan yang lebih tegas mampu meredakan keegoan perokok sekaligus menakutkan perokok-perokok dan secara tidak langsung mereka berfikir bahana merokok.

Langkah lain yang lebih efisien dalam menangani masalah tabiat merokok ialah dengan mengadakan kempen secara berterusan terutamanya pada peringkat institusi pendidikan. Hal ini kerana melalui kempen di sekolah dan instituti pengajian tinggi dilihat mampu memberi maklumat secara berterusan kepada pelajar dan masyarakat. Di sekolah misalnya, penerapan kempen bahana merokok bukan sahaja dapat diadakan kempen secara formal tetapi juga melalui kempen tersembunyi yang wajib diselitkan dalam kurikulum bilik darjah oleh guru. Perkara ini amat penting kerana dilihat mampu mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan pelajar dan masyarakat melalui pengajaran yang bermotivasi. Sebagai contoh, kempen tersembunyi dalam bilik darjah dapat diterapkan dalam mata pelajaran Sains. Dalam mata pelajaran Sains, pelbagai kesan merokok dapat diketahui oleh pelajar berserta dengan bukti yang kukuh dan maklumat yang diperolehi melalui pengajaran guru. Jadi, secara khususnya, dapatlah dikatakan bahawa kempen secara berterusan merupakan cara berkesan yang patut diteruskan dalam mengurangkan jumlah perokok sedikit demi sedikit di negara kita.

Secara keseluruhannya, dapatlah disimpulkan bahawa tabiat merokok merupakan penyakit yang agak sukar untuk diselesaikan secara mendadak oleh semua pihak di negara kita. Walau bagaimanapun, perkara ini bukan mustahil untuk diselesaikan seperti yang kita tahu ada satu perpatah mengatakan sehari selembar benang lama-lama menjadi kain iaitu setiap langkah penyelesaian pasti ada kesudahannya. Oleh itu, usaha menangani tabiat merokok sudah pastinya memerlukan komitmen daripada semua pihak bermula daripada institusi keluarga lagi melalui didikan ibu bapa terhadap anak-anak dan seterusnya pada peringkat yang lebih tinggi. Apa yang pasti, melalui kerjasama dan kesedaran semua pihak maka masalah ini dapat dilenyapkan secara evolusi sekaligus menjadikan masyarakat kita bebas daripada tabiat merokok. Bak kata pepatah, bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Tegasnya, bersatulah kita dalam menangani masalah rokok bersama-sama.

Sunday, January 9, 2011

Dari Teknik Sibu ke Teknik Kuantan




Hari ini 10.1.2011 merupakan seminggu aku di Kuantan dan seminggu meninggalkan Teknik Sibu. Suasana berpindah memang seronok tetapi meninggalkan Teknik Sibu bukan perkara yang menyeronokan. Di Sibu, banyak perkara aku pelajari, pergaulan, perbezaan ras, etnik, agama dan budaya yang amat ketara. Apapun, kepada para pelajar di Teknik Sibu, teruskan perjuangan anda, cikgu gembira bersama kamu berkongsi ilmu. Di Kuantan budaya yang amat berbeza, 99.99% merupakan pelajar muslim dan berbangsa Melayu, kelebihan di Teknik Kuantan tetap ada. Aku bertuah kerana sepanjang perkhidmatan sebagai guru, majikan aku amat baik dan berpengalaman serta menjaga kebajikan guru, syukur alhamdulilah kerana Allah telah mempermudah kehidupan aku..... Tahun 2011 diharap dapat memberi pengalaman yang lebih bermakna lagi...

PENULISAN KARANGAN BAHASA MELAYU (SPM) BAHAGIAN B

PENDAHULUAN KARANGAN

1. Pendahuluan karangan merupakan gambaran penting ( kepala) dalam memulakan penulisan sesebuah karangan sama ada karangan berpandu ataupun karangan umum.

2. Apa yang paling penting, pendahuluan karangan mestilah menyentuh tajuk karangan yang dibincangkan.

3. Dalam penulisan pendahuluan, terdapat pelbagai teknik pendahuluan yang boleh digunakan oleh murid dalam penulisan.

1. Pendahuluan Jenis Definisi:

Tajuk : Pencemaran alam

Skop : Usaha-usaha untuk mengawal pencemaran alam.

Jumlah : 97 patah perkataan.

Pencemaran alam dapat didefinisikan sebagai satu keadaan yang berlaku apabila alam sekeliling tercemar dan kotor, iaitu dipenuhi dengan sampah sarap, asap, debu, habuk, buangan toksik dan sebagainya. Pencemaran alam yang berlaku di negara ini dapat dikelaskan kepada pencemaran udara, pencemaran air, pencemaran bunyi, dan pencemaran kawasan sekitar. Perbuatan ini mungkin berlaku secara sengaja atau tidak sengaja. Di samping itu, kita mendapati bahawa pencemaran di negara ini semakin serius akibat pembangunan yang begitu pesat sejak akhir-akhir ini. Oleh itu, usaha-usaha tertentu perlu diambil dan dilaksanakan untuk mengawal pencemaran alam supaya tidak menjejaskan kesihatan rakyat dan mendatangkan pelbagai kesan buruk.

2. Pendahulu Jenis Pendapat Tokoh:

Tajuk : Amalan Membaca

Skop : Kebaikan amalan membaca.

Jumlah : 128 patah perkataan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pernah berkata, “Yang merunsingkan kini bukanlah semata-mata kurangnya minat membaca buku dalam bahasa Melayu, tetapi yang nyata ialah kurangnya tabiat membaca dalam kalangan masyarakat yang dikatakan terpelajar.” Beliau berasa kesal terhadap masyarakat kita yang tidak berminat untuk membaca walaupun negara kita sudah maju dalam bidang penerbitan dan pencetakan serta rakyat kita juga mampu membeli bahan bacaan yang berkualiti. Beliau berkata demikian kerana mengikut statistik, setiap rakyat Malaysia hanya membaca satu halaman buku setiap tahun secara purata. Beliau berpendapat bahawa perkembangan media elektronik seperti televisyen, radio, komputer dan baru-baru ini Internet yang semakin canggih telah menyebabkan masyarakat kita semakin ketara tidak berminat untuk membaca. Sebenarnya, amalan membaca mempunyai pelbagai kebaikan tersurat dan yang tersirat bagi setiap insan walaupun perkembangan teknologi elektronik semakin hari semakin canggih.

3. Pendahuluan Jenis Persoalan:

Tajuk : Kemalangan jalan raya

Skop : Faktor-faktor yang menyebabkan peningkatan kadar kemalangan jalan raya

Jumlah : 97 patah perkataan.

Dewasa ini, kadar kemalangan jalan raya di Malaysia semakin meningkat dari semasa ke semasa, terutamanya pada musim perayaan. Adakah kemalangan jalan raya terjadi akibat kelalaian diri sendiri atau orang lain? Mengapakah jumlah kemalangan jalan raya semakin meningkat dari setahun ke setahun, khususnya pada musim perayaan? Apakah punca sebenar kemalangan berlaku? Mengapakah kemalangan jalan raya banyak membabitkan motosikal dan bas ekspres berbanding keadaan lain? Bagaimanakah kita hendak mengelak atau mengurangkan kadar kemalangan jalan raya? Mungkin ada antara kita yang mengatakan bahawa kemalangan jalan raya hanya disifatkan takdir Allah. Persoalannya, apakah faktor-faktor sebenarnya yang menyebabkan kemalangan jalan raya berlaku?

4. Pendahuluan Jenis Peribahasa/Pepatah/Cogan Kata

Tajuk : Semangat kejiranan

Skop : Langkah memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Jumlah : 109 patah perkataan.

Semenjak kebelakangan ini, semangat kejiranan dan amalan gotong-royong semakin tipis dalam masyarakat kita. Jikalau dahulu peribahasa seperti “ringan sama dijinjing, berat sama dipikul”, “ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”, dan “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah” menjadi pegangan hidup masyarakat.kita, tetapi kini peribahasa ini tidak lagi menjadi pegangan hidup masyarakat. Dalam zaman yang serba canggih ini dengan teknologi yang tinggi, manusia tidak lagi mementing semangat kejiranan. Bagi mereka amalan gotong-royong dianggap sebagai kerja yang membuang masa dan sia-sia sahaja. Mereka hidup seperti “enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” dan “masing-masing perahu, masing-masing kayuh”. Jadi, bagaimanakah kita hendak memupuk semangat kejiranan dalam sanubari setiap warganegara Malaysia?

5. Pendahuluan Jenis Latar Belakang Sejarah

Tajuk : Hutan

Skop : Langkah mengawal kepupusan hutan.

Jumlah : 127 patah perkataan.

Sebelum Negara Malaysia mencapai kemerdekaan, Negara kita memang dilitupi dengan hutan yang tebal. Sebelum wujudnya petempatan sekarang, masyarakat awal di negara kita terpaksa menetap di pinggir hutan atau berhampiran hutan. Mereka menjalankan kegiatan harian dengan berburu binatang dan memungut hasil hutan. Secara tidak langsung, hutan merupakan sumber makanan kepada mereka. Bukan itu sahaja, hutan dianggap penting untuk kesejahteraan hidup manusia dan keseimbangan alam sekitar. Setelah negara kita mencapai kemerdekaan, maka kita telah mencapai kemajuan dari segi ekonomi, politik dan sosial. Ini bermakna masyarakat sekarang tidak lagi menetap di pinggir hutan kerana hutan telah ditebang dan dijadikan sebagai tapak pembangunan. Dengan itu, hutan semakin pupus dan hal ini menimbulkan pelbagai kesan buruk kepada manusia dan alam sekitar. Oleh itu, pelbagai langkah yang berkesan harus diambil untuk mengawal kepupusan hutan.

6. Pendahuluan Jenis Fakta

Tajuk : Penagihan dadah

Skop : Langkah-langkah untuk membendung kegiatan pengambilan dadah.

Jumlah : 97 patah perkataan.

Kira-kira dua peratus daripada jumlah penduduk Pulau Pinang ialah penagih dadah dan lima orang penagih baru dikenal pasti pada setiap hari di negeri tersebut. Mengikut perangkaan daripada Ketua Pengarah Agensi Dadah Kebangsaan (ADK), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Mohd Bakri Omar, pada tahun 1998, seramai 3553 orang penduduk di Pulau Pinang dikenal pasti sebagai penagih dadah. Daripada jumlah itu, 1864 orang ialah penagih dadah berulang. Dengan itu, didapati bahawa Pulau Pinang “melahirkan” seramai 155 orang penagih dadah baru setiap bulan. Oleh itu, langkah-langkah drastik perlu dijalankan untuk membendung kegiatan pengambilan dadah supaya penagih dadah baru dapat dibendung.

7. Pendahuluan Jenis Gabungan

Tajuk : Sukan

Skop : Langkah-langkah untuk meningkatkan mutu sukan negara.

Jumlah : 134 patah perkataan.

Sukan boleh ditakrifkan sebagai aktiviti kecergasan yang dapat mengisi masa lapang dan menjaga kesihatan badan seseorang individu. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohammad telah berusaha untuk meningkatkan mutu sukan di Negara ini, terutamanya dalam pertandingan di peringkat antarabangsa dengan mengadakan pelbagai program. Mengapakah Perdana Menteri kita berbuat demikian? Seperti yang kita sedia maklum, Negara kita telah menjadi tuan rumah acara sukan peringkat antarabangsa. Kejayaan Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel ke-16 pada tahun 1998 telah mengangkat martabat Negara dan pemimpinnya. Oleh itu, mutu sukan harus ditingkatkan sebagai persiapan untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan. Saya yakin bahawa kita bukan sahaja mampu menganjurkan SUKOM 1998, malah jika kita ditawarkan menjadi penganjur Sukan Olimpik sekalipun pada masa hadapan, kita mampu menjayakannya. Oleh itu, pemimpin-pemimpin negara berpendapat bahawa langkah-langkah wajar perlu diambil untuk meningkatkan mutu sukan Negara kita.

PEMANTAPAN ISI KARANGAN

1. Dalam penulisan isi-isi karangan, pelajar mestilah kaya dengan persoalan apa, mengapa, bagaimana, kenapa, siapa, dan bila.

2. Murid perlu menguasai format mengarang isi seperti berikut:

Proses pengembangan isi

ISI / IDEA

HURAIAN (MENGAPA & BAGAIMANA)

CONTOH / BUKTI

RUMUSAN / PENEGASAN

Contoh 1 – Pengaruh rakan sebaya dalam gejala samseng

Salah satu punca berlakunya budaya samseng dalam kalangan pelajar sekolah adalah kerana pengaruh rakan sebaya. (Mengapakah gejala samseng yang berlaku dikatakan dipengaruhi oleh rakan sebaya?). Gejala ini dikatakan berpunca daripada pengaruh rakan sebaya kerana pada zaman ini remaja lebih mengutamakan rakan sebaya dalam kehidupan mereka. Malah, ibu bapa dan guru tidak menjadi model dalam kehidupan remaja kini. (Bagaimanakah rakan sebaya boleh menyebabkan budaya samseng?) Remaja, terutamanya pelajar-pelajar sekolah akan mengikut segala ajakan, permintaan dan arahan rakan sebaya dan mereka tidak akan menolaknya kerana sekiranya mereka ingkar dengan kehendak tersebut, maka mereka akan diketepikan. (Contohnya) Misalnya, sekiranya ibu bapa meminta anak mereka supaya tidak ke sekolah pada hari persekolahan kerana sesuatu sebab tertentu, anak mereka akan menolaknya. Sebaliknya jika rakan sebaya mereka mengajak mereka supaya ponteng sekolah kerana hendak menonton filem atau melepak, maka mereka akan berbuat demikian. (Rumusan) Jadi, pengaruh rakan sebaya diibaratkan “batu api” mendorong remaja terlibat dengan budaya samseng.

1. Perenggan deduktif – Isi Karangan + Pengembangan Isi

Isi Satu lagi langkah yang difikirkan berkesan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ialah menaikkan had umur untuk memperoleh lesen memandu daripada umur 17 kepada 21 tahun. Mengapa? Hal ini dicadangkan kerana pada usia 17 tahun, remaja belum lagi berfikiran matang. Mereka yang menunggang motosikal atau memandu kenderaan senantiasa menunggangnya atau memandunya deengan laju semata-mata untuk menunjukkan kehandalan dan kebolehan mereka. Sebaliknya umur 21 tahun, mereka sudah matang dan dapat menilai perkara yang baik dan perkara yang buruk. Mereka akan menunggang motosikal atau memandu kenderaan dengan lebih berhati-hati. Bagaimana? Remaja pada usia 17 tahun kebanyakannya tidak mematuhi peraturan jalan raya. Mereka menganggap jalan raya hak mereka. Contoh Satu kajian yang dilakukan oleh Universiti Putra Malaysia menunjukkan bahawa 57 peratus kematian di jalan raya membabitkan penunggang dan pemboceng motosikal. Kira-kira 37 peratus daripada mereka berusia lingkungan 16 – 25 tahun. Rumusan Dalam hal ini ternyatalah bahawa umur untuk mendapat lesen memandu wajar dinaikkan dan hanya remaja yang berusia 21 tahun sahaja yang layak mendapat lesen memandu.

2. Perenggan induktif – Isi Karangan – Pengembangan Isi + Isi Karangan

Mengapa? Kelewatan mahkamah membicarakan kes tersebut dan menjatuhkan hukuman ke atas pesalah mengakibatkan pesalah jalan raya tidak serik, manakala pemandu lain tidak boleh menjadikannya sebagai pengajaran kepada pesalah-pesalah di jalan raya. Bagaimana? Oleh yang demikian pihak mahkamah harus mempercepatkan perbicaraan kes kemalangan maut dan mengenakan hukuman yang setimpal kepada pemandu yang bersalah kerana undang-undang telah sedia ada, tetapi pelaksanaannya kurang berkesan. Contoh Buktinya, Bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato’ Wira Mohd Ali Rustam yang diminta mengulas tentang kecelakaan jalan raya membabitkan kematian meningkat menjelaskan bahawa kes-kes kemalangan maut yang sudah dibicarakan dan dijatuhkan hukuman setiap tahun sangat sedikit walaupun bilangan pengguna jalan raya yang terkorban 6000 orang. Isi Jadi, tidak dapat dinafikan bahawa salah satu punca utama yang menyebabkan peningkatan kadar kemalangan jalan raya di negara kita ialah kelambatan pihak mahkamah dalam mengendalikan kes-kes yang melibatkan kemalangan jalan raya yang membawa maut. Rumusan Dengan itu, saya berpendapat bahawa pihak mahkamah hendaklah mempercepat perbicaraan kes-kes kemalangan jalan raya, terutamanya yang mengakibatkan kematian untuk menyedarkan pesalah tentang kesalahan mereka dengan mengenakan hukuman yang setimpal.Hal ini akan menyedarkan orang ramai supaya lebih berhati-hati di jalan raya dan tidak mahu terlibat dalam kemalangan jalan raya.

PENULISAN RUMUSAN

1. Kesimpulan/Rumusan adalah diibaratkan seperti kaki kepada manusia. Perenggan kesimpulan ini sangat penting kerana komponen ini merupakan rumusan daripada keseluruhan perbincangan yang dibuat dan bahagian ini juga memberitahu pembaca bahawa karangan tersebut sudah sampai ke penghujungnya.

2. Antara penanda wacana yang sesuai dan biasa digunakan ialah:

i) Oleh itu,

ii) Kesimpulannya,

iii) Rumusannya ialah,

iv) Secara keseluruhannya,

v) Daripada perbincangan tadi, dapatlah dirumuskan,

vi) Daripada perbincangan tadi, dapatlah disimpulkan bahawa,

3. Proses menulis perenggan kesimpulan.




Horizontal Scroll: Penegasan (Pendirian)  (5)Horizontal Scroll: Harapan (4)Horizontal Scroll: Kesan Cadangan (3)

Contoh 1: Rumusan karangan jenis Syarahan:

Tajuk : Jenayah Juvana

Skop : Langkah-langkah untuk mengawal remaja melakukan jenayah.

1. Sebelum mengakhiri syarahan ini, saya menyimpulkan bahawa perlu diambil langkah yang segera untuk membanteras jenayah juvana yang berlaku sekarang ini. 2. Oleh itu, ibu bapa dan semua anggota masyarakat haruslah menyedari peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk mendidik anak-anak supaya menjadi warganegara yang berguna dan secara tidak langsung kita berusaha untuk membendung jenayah juvana. 4. Ini demikian kerana kita tidak mahu melihat remaja kita tidak mempunyai nilai-nilai murni dan melakukan sesuatu yang melanggar norma-norma hidup dan undang-undang. Kita perlu sedar bahawa mereka akan menjadi pemimpin negara kelak. 5. Dengan itu, sekali lagi saya menyeru tuan-tuan dan puan-puan supaya berpegang kepada peribahasa Melayu yang berbunyi “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Contoh 2: Rumusan karangan jenis Pendapat:

Tajuk : Pembangunan negara

Skop : Kesan-kesan pembangunan yang tidak terancang

1. Kesimpulannya, dapat dikatakan bahawa pembangunan yang pesat di negara ini memang mendatangkan kebaikan kepada rakyat dan negara, tetapi pembangunan juga menimbulkan pelbagai kesan terhadap kehidupan manusia, menganggu sistem ekologi dan menjejaskan keindahan alam. 2. Oleh itu, saya berharap agar langkah-langkah pengawalan diambil dengan segera untuk memastikan pencemaran yang serius tidak akan berlaku. 4. Saya juga berharap agar pembangunan yang hendak dilaksanakan dirancang dengan teliti supaya alam sekitar terkawal, di samping dapat membahagiakan rakyat negara ini seperti cogan kata “Negara Bersih, Rakyat Sihat”. 5. Jadi, kita hendaklah membuat perancangan yang teliti untuk mengawal pencemaran dari sekarang kerana pepatah ada mengatakan “mencegah lebih baik daripada mengubati”.

* Baca dan faham kaedah untuk menulis karangan berkesan dan bermakna.

* Bak kata pepatah “hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih”

Disediakan: Mohd Fahdeli Bin Isa

Guru Bahasa Melayu SMT Kuantan