Sunday, January 9, 2011

PENULISAN KARANGAN BAHASA MELAYU (SPM) BAHAGIAN B

PENDAHULUAN KARANGAN

1. Pendahuluan karangan merupakan gambaran penting ( kepala) dalam memulakan penulisan sesebuah karangan sama ada karangan berpandu ataupun karangan umum.

2. Apa yang paling penting, pendahuluan karangan mestilah menyentuh tajuk karangan yang dibincangkan.

3. Dalam penulisan pendahuluan, terdapat pelbagai teknik pendahuluan yang boleh digunakan oleh murid dalam penulisan.

1. Pendahuluan Jenis Definisi:

Tajuk : Pencemaran alam

Skop : Usaha-usaha untuk mengawal pencemaran alam.

Jumlah : 97 patah perkataan.

Pencemaran alam dapat didefinisikan sebagai satu keadaan yang berlaku apabila alam sekeliling tercemar dan kotor, iaitu dipenuhi dengan sampah sarap, asap, debu, habuk, buangan toksik dan sebagainya. Pencemaran alam yang berlaku di negara ini dapat dikelaskan kepada pencemaran udara, pencemaran air, pencemaran bunyi, dan pencemaran kawasan sekitar. Perbuatan ini mungkin berlaku secara sengaja atau tidak sengaja. Di samping itu, kita mendapati bahawa pencemaran di negara ini semakin serius akibat pembangunan yang begitu pesat sejak akhir-akhir ini. Oleh itu, usaha-usaha tertentu perlu diambil dan dilaksanakan untuk mengawal pencemaran alam supaya tidak menjejaskan kesihatan rakyat dan mendatangkan pelbagai kesan buruk.

2. Pendahulu Jenis Pendapat Tokoh:

Tajuk : Amalan Membaca

Skop : Kebaikan amalan membaca.

Jumlah : 128 patah perkataan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pernah berkata, “Yang merunsingkan kini bukanlah semata-mata kurangnya minat membaca buku dalam bahasa Melayu, tetapi yang nyata ialah kurangnya tabiat membaca dalam kalangan masyarakat yang dikatakan terpelajar.” Beliau berasa kesal terhadap masyarakat kita yang tidak berminat untuk membaca walaupun negara kita sudah maju dalam bidang penerbitan dan pencetakan serta rakyat kita juga mampu membeli bahan bacaan yang berkualiti. Beliau berkata demikian kerana mengikut statistik, setiap rakyat Malaysia hanya membaca satu halaman buku setiap tahun secara purata. Beliau berpendapat bahawa perkembangan media elektronik seperti televisyen, radio, komputer dan baru-baru ini Internet yang semakin canggih telah menyebabkan masyarakat kita semakin ketara tidak berminat untuk membaca. Sebenarnya, amalan membaca mempunyai pelbagai kebaikan tersurat dan yang tersirat bagi setiap insan walaupun perkembangan teknologi elektronik semakin hari semakin canggih.

3. Pendahuluan Jenis Persoalan:

Tajuk : Kemalangan jalan raya

Skop : Faktor-faktor yang menyebabkan peningkatan kadar kemalangan jalan raya

Jumlah : 97 patah perkataan.

Dewasa ini, kadar kemalangan jalan raya di Malaysia semakin meningkat dari semasa ke semasa, terutamanya pada musim perayaan. Adakah kemalangan jalan raya terjadi akibat kelalaian diri sendiri atau orang lain? Mengapakah jumlah kemalangan jalan raya semakin meningkat dari setahun ke setahun, khususnya pada musim perayaan? Apakah punca sebenar kemalangan berlaku? Mengapakah kemalangan jalan raya banyak membabitkan motosikal dan bas ekspres berbanding keadaan lain? Bagaimanakah kita hendak mengelak atau mengurangkan kadar kemalangan jalan raya? Mungkin ada antara kita yang mengatakan bahawa kemalangan jalan raya hanya disifatkan takdir Allah. Persoalannya, apakah faktor-faktor sebenarnya yang menyebabkan kemalangan jalan raya berlaku?

4. Pendahuluan Jenis Peribahasa/Pepatah/Cogan Kata

Tajuk : Semangat kejiranan

Skop : Langkah memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Jumlah : 109 patah perkataan.

Semenjak kebelakangan ini, semangat kejiranan dan amalan gotong-royong semakin tipis dalam masyarakat kita. Jikalau dahulu peribahasa seperti “ringan sama dijinjing, berat sama dipikul”, “ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”, dan “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah” menjadi pegangan hidup masyarakat.kita, tetapi kini peribahasa ini tidak lagi menjadi pegangan hidup masyarakat. Dalam zaman yang serba canggih ini dengan teknologi yang tinggi, manusia tidak lagi mementing semangat kejiranan. Bagi mereka amalan gotong-royong dianggap sebagai kerja yang membuang masa dan sia-sia sahaja. Mereka hidup seperti “enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” dan “masing-masing perahu, masing-masing kayuh”. Jadi, bagaimanakah kita hendak memupuk semangat kejiranan dalam sanubari setiap warganegara Malaysia?

5. Pendahuluan Jenis Latar Belakang Sejarah

Tajuk : Hutan

Skop : Langkah mengawal kepupusan hutan.

Jumlah : 127 patah perkataan.

Sebelum Negara Malaysia mencapai kemerdekaan, Negara kita memang dilitupi dengan hutan yang tebal. Sebelum wujudnya petempatan sekarang, masyarakat awal di negara kita terpaksa menetap di pinggir hutan atau berhampiran hutan. Mereka menjalankan kegiatan harian dengan berburu binatang dan memungut hasil hutan. Secara tidak langsung, hutan merupakan sumber makanan kepada mereka. Bukan itu sahaja, hutan dianggap penting untuk kesejahteraan hidup manusia dan keseimbangan alam sekitar. Setelah negara kita mencapai kemerdekaan, maka kita telah mencapai kemajuan dari segi ekonomi, politik dan sosial. Ini bermakna masyarakat sekarang tidak lagi menetap di pinggir hutan kerana hutan telah ditebang dan dijadikan sebagai tapak pembangunan. Dengan itu, hutan semakin pupus dan hal ini menimbulkan pelbagai kesan buruk kepada manusia dan alam sekitar. Oleh itu, pelbagai langkah yang berkesan harus diambil untuk mengawal kepupusan hutan.

6. Pendahuluan Jenis Fakta

Tajuk : Penagihan dadah

Skop : Langkah-langkah untuk membendung kegiatan pengambilan dadah.

Jumlah : 97 patah perkataan.

Kira-kira dua peratus daripada jumlah penduduk Pulau Pinang ialah penagih dadah dan lima orang penagih baru dikenal pasti pada setiap hari di negeri tersebut. Mengikut perangkaan daripada Ketua Pengarah Agensi Dadah Kebangsaan (ADK), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Mohd Bakri Omar, pada tahun 1998, seramai 3553 orang penduduk di Pulau Pinang dikenal pasti sebagai penagih dadah. Daripada jumlah itu, 1864 orang ialah penagih dadah berulang. Dengan itu, didapati bahawa Pulau Pinang “melahirkan” seramai 155 orang penagih dadah baru setiap bulan. Oleh itu, langkah-langkah drastik perlu dijalankan untuk membendung kegiatan pengambilan dadah supaya penagih dadah baru dapat dibendung.

7. Pendahuluan Jenis Gabungan

Tajuk : Sukan

Skop : Langkah-langkah untuk meningkatkan mutu sukan negara.

Jumlah : 134 patah perkataan.

Sukan boleh ditakrifkan sebagai aktiviti kecergasan yang dapat mengisi masa lapang dan menjaga kesihatan badan seseorang individu. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohammad telah berusaha untuk meningkatkan mutu sukan di Negara ini, terutamanya dalam pertandingan di peringkat antarabangsa dengan mengadakan pelbagai program. Mengapakah Perdana Menteri kita berbuat demikian? Seperti yang kita sedia maklum, Negara kita telah menjadi tuan rumah acara sukan peringkat antarabangsa. Kejayaan Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel ke-16 pada tahun 1998 telah mengangkat martabat Negara dan pemimpinnya. Oleh itu, mutu sukan harus ditingkatkan sebagai persiapan untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan. Saya yakin bahawa kita bukan sahaja mampu menganjurkan SUKOM 1998, malah jika kita ditawarkan menjadi penganjur Sukan Olimpik sekalipun pada masa hadapan, kita mampu menjayakannya. Oleh itu, pemimpin-pemimpin negara berpendapat bahawa langkah-langkah wajar perlu diambil untuk meningkatkan mutu sukan Negara kita.

PEMANTAPAN ISI KARANGAN

1. Dalam penulisan isi-isi karangan, pelajar mestilah kaya dengan persoalan apa, mengapa, bagaimana, kenapa, siapa, dan bila.

2. Murid perlu menguasai format mengarang isi seperti berikut:

Proses pengembangan isi

ISI / IDEA

HURAIAN (MENGAPA & BAGAIMANA)

CONTOH / BUKTI

RUMUSAN / PENEGASAN

Contoh 1 – Pengaruh rakan sebaya dalam gejala samseng

Salah satu punca berlakunya budaya samseng dalam kalangan pelajar sekolah adalah kerana pengaruh rakan sebaya. (Mengapakah gejala samseng yang berlaku dikatakan dipengaruhi oleh rakan sebaya?). Gejala ini dikatakan berpunca daripada pengaruh rakan sebaya kerana pada zaman ini remaja lebih mengutamakan rakan sebaya dalam kehidupan mereka. Malah, ibu bapa dan guru tidak menjadi model dalam kehidupan remaja kini. (Bagaimanakah rakan sebaya boleh menyebabkan budaya samseng?) Remaja, terutamanya pelajar-pelajar sekolah akan mengikut segala ajakan, permintaan dan arahan rakan sebaya dan mereka tidak akan menolaknya kerana sekiranya mereka ingkar dengan kehendak tersebut, maka mereka akan diketepikan. (Contohnya) Misalnya, sekiranya ibu bapa meminta anak mereka supaya tidak ke sekolah pada hari persekolahan kerana sesuatu sebab tertentu, anak mereka akan menolaknya. Sebaliknya jika rakan sebaya mereka mengajak mereka supaya ponteng sekolah kerana hendak menonton filem atau melepak, maka mereka akan berbuat demikian. (Rumusan) Jadi, pengaruh rakan sebaya diibaratkan “batu api” mendorong remaja terlibat dengan budaya samseng.

1. Perenggan deduktif – Isi Karangan + Pengembangan Isi

Isi Satu lagi langkah yang difikirkan berkesan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ialah menaikkan had umur untuk memperoleh lesen memandu daripada umur 17 kepada 21 tahun. Mengapa? Hal ini dicadangkan kerana pada usia 17 tahun, remaja belum lagi berfikiran matang. Mereka yang menunggang motosikal atau memandu kenderaan senantiasa menunggangnya atau memandunya deengan laju semata-mata untuk menunjukkan kehandalan dan kebolehan mereka. Sebaliknya umur 21 tahun, mereka sudah matang dan dapat menilai perkara yang baik dan perkara yang buruk. Mereka akan menunggang motosikal atau memandu kenderaan dengan lebih berhati-hati. Bagaimana? Remaja pada usia 17 tahun kebanyakannya tidak mematuhi peraturan jalan raya. Mereka menganggap jalan raya hak mereka. Contoh Satu kajian yang dilakukan oleh Universiti Putra Malaysia menunjukkan bahawa 57 peratus kematian di jalan raya membabitkan penunggang dan pemboceng motosikal. Kira-kira 37 peratus daripada mereka berusia lingkungan 16 – 25 tahun. Rumusan Dalam hal ini ternyatalah bahawa umur untuk mendapat lesen memandu wajar dinaikkan dan hanya remaja yang berusia 21 tahun sahaja yang layak mendapat lesen memandu.

2. Perenggan induktif – Isi Karangan – Pengembangan Isi + Isi Karangan

Mengapa? Kelewatan mahkamah membicarakan kes tersebut dan menjatuhkan hukuman ke atas pesalah mengakibatkan pesalah jalan raya tidak serik, manakala pemandu lain tidak boleh menjadikannya sebagai pengajaran kepada pesalah-pesalah di jalan raya. Bagaimana? Oleh yang demikian pihak mahkamah harus mempercepatkan perbicaraan kes kemalangan maut dan mengenakan hukuman yang setimpal kepada pemandu yang bersalah kerana undang-undang telah sedia ada, tetapi pelaksanaannya kurang berkesan. Contoh Buktinya, Bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato’ Wira Mohd Ali Rustam yang diminta mengulas tentang kecelakaan jalan raya membabitkan kematian meningkat menjelaskan bahawa kes-kes kemalangan maut yang sudah dibicarakan dan dijatuhkan hukuman setiap tahun sangat sedikit walaupun bilangan pengguna jalan raya yang terkorban 6000 orang. Isi Jadi, tidak dapat dinafikan bahawa salah satu punca utama yang menyebabkan peningkatan kadar kemalangan jalan raya di negara kita ialah kelambatan pihak mahkamah dalam mengendalikan kes-kes yang melibatkan kemalangan jalan raya yang membawa maut. Rumusan Dengan itu, saya berpendapat bahawa pihak mahkamah hendaklah mempercepat perbicaraan kes-kes kemalangan jalan raya, terutamanya yang mengakibatkan kematian untuk menyedarkan pesalah tentang kesalahan mereka dengan mengenakan hukuman yang setimpal.Hal ini akan menyedarkan orang ramai supaya lebih berhati-hati di jalan raya dan tidak mahu terlibat dalam kemalangan jalan raya.

PENULISAN RUMUSAN

1. Kesimpulan/Rumusan adalah diibaratkan seperti kaki kepada manusia. Perenggan kesimpulan ini sangat penting kerana komponen ini merupakan rumusan daripada keseluruhan perbincangan yang dibuat dan bahagian ini juga memberitahu pembaca bahawa karangan tersebut sudah sampai ke penghujungnya.

2. Antara penanda wacana yang sesuai dan biasa digunakan ialah:

i) Oleh itu,

ii) Kesimpulannya,

iii) Rumusannya ialah,

iv) Secara keseluruhannya,

v) Daripada perbincangan tadi, dapatlah dirumuskan,

vi) Daripada perbincangan tadi, dapatlah disimpulkan bahawa,

3. Proses menulis perenggan kesimpulan.




Horizontal Scroll: Penegasan (Pendirian)  (5)Horizontal Scroll: Harapan (4)Horizontal Scroll: Kesan Cadangan (3)

Contoh 1: Rumusan karangan jenis Syarahan:

Tajuk : Jenayah Juvana

Skop : Langkah-langkah untuk mengawal remaja melakukan jenayah.

1. Sebelum mengakhiri syarahan ini, saya menyimpulkan bahawa perlu diambil langkah yang segera untuk membanteras jenayah juvana yang berlaku sekarang ini. 2. Oleh itu, ibu bapa dan semua anggota masyarakat haruslah menyedari peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk mendidik anak-anak supaya menjadi warganegara yang berguna dan secara tidak langsung kita berusaha untuk membendung jenayah juvana. 4. Ini demikian kerana kita tidak mahu melihat remaja kita tidak mempunyai nilai-nilai murni dan melakukan sesuatu yang melanggar norma-norma hidup dan undang-undang. Kita perlu sedar bahawa mereka akan menjadi pemimpin negara kelak. 5. Dengan itu, sekali lagi saya menyeru tuan-tuan dan puan-puan supaya berpegang kepada peribahasa Melayu yang berbunyi “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Contoh 2: Rumusan karangan jenis Pendapat:

Tajuk : Pembangunan negara

Skop : Kesan-kesan pembangunan yang tidak terancang

1. Kesimpulannya, dapat dikatakan bahawa pembangunan yang pesat di negara ini memang mendatangkan kebaikan kepada rakyat dan negara, tetapi pembangunan juga menimbulkan pelbagai kesan terhadap kehidupan manusia, menganggu sistem ekologi dan menjejaskan keindahan alam. 2. Oleh itu, saya berharap agar langkah-langkah pengawalan diambil dengan segera untuk memastikan pencemaran yang serius tidak akan berlaku. 4. Saya juga berharap agar pembangunan yang hendak dilaksanakan dirancang dengan teliti supaya alam sekitar terkawal, di samping dapat membahagiakan rakyat negara ini seperti cogan kata “Negara Bersih, Rakyat Sihat”. 5. Jadi, kita hendaklah membuat perancangan yang teliti untuk mengawal pencemaran dari sekarang kerana pepatah ada mengatakan “mencegah lebih baik daripada mengubati”.

* Baca dan faham kaedah untuk menulis karangan berkesan dan bermakna.

* Bak kata pepatah “hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih”

Disediakan: Mohd Fahdeli Bin Isa

Guru Bahasa Melayu SMT Kuantan

No comments:

Post a Comment