Sunday, July 31, 2011

Strategi Dasar Ekonomi Baru (DEB)

Pendahuluan

Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan dasar yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak iaitu Perdana Menteri Malaysia Kedua pada tahun 1970 selepas negara dikejutkan dengan peristiwa 13 Mei 1969.[i] Siapa sangka bahawa peristiwa rusuhan kaum ini merupakan kejutan sosiopolitik terhadap kehidupan masyarakat majmuk di negara kita yang dipisahkan jurang sosioekonomi yang sangat ketara oleh penjajah tanpa diatasi sepenuhnya pemimpin terdahulu. Atas dasar demi kemakmuran dan keamanan yang perlu dikekalkan, maka kerajaan mengambil telah langkah bijak dengan usaha mengagihkan kekayaan negara kepada semua kaum terutama kaum bumiputera yang jauh ketinggalan dalam menikmati kemakmuran dalam negara sendiri menerusi DEB.[ii] DEB merupakan Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama yang meliputi tempoh antara tahun 1970-1990 melalui:

    • Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975)
    • Rancangan Malaysia Ketiga (1976- 1980)
    • Rancangan Malaysia Keempat (1981-1985)
    • Rancangan Malaysia Kelima (1986-1990 )[iii]

Bagaimana pun, masyarakat bukan bumiputera juga tidak dinafikan hak mereka. Dalam pelaksanaan DEB, konsep serampang dua mata sangat popular digunakan kerana terdapat dua matlamat yang digariskan dalam dasar ini iaitu membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat di negara kita. Kedua-dua matlamat ini mempunyai tuju arah yang satu iaitu mengintegrasikan masyarakat majmuk Malaysia.

Strategi Membasmi Kemiskinan

Pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum merupakan matlamat utama DEB. Hal ini kerana pencetus dasar ini jelas disebabkan ketegangan antara golongan yang berharta dan yang tidak berharta adalah berpunca daripada isu kemiskinan. Didapati bahawa orang Melayu lebih banyak menghadapi kemiskinan berbanding kaum-kaum yang lain. Didapati juga orang Melayu masih jauh ketinggalan dan kurang mampu bersaing dengan kaum-kaum lain walaupun Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik.[iv]

Antara strategi membasmi kemiskinan yang dilaksanakan dalam DEB ialah memodenkan keadaan kehidupan rakyat yang berpendapatan rendah sama ada di bandar atau di luar bandar dengan meningkatkan lagi penyediaan kemudahan-kemudahan asas dan juga yang bersabit dengan pendidikan seperti bantuan buku dan biasiswa.[v] Keadaan masyarakat Malaysia sebelum DEB sangat berbeza-beza apatah lagi hanya masyarakat yang tinggal di bandar sahaja menikmati kemudahan-kemudahan asas seperti perubatan, pendidikan dan sebagainya manakala masyarakat di luar jauh ketinggalan. Dengan memodenkan keadaan kehidupan rakyat dengan menyediakan kemudahan asas iaitu pendidikan, perkhidmatan, perubatan, bekalan air dan bekalan elektrik[vi] sekaligus jurang kemiskinan dapat dikendurkan.[vii]

Selain itu, kerajaan turut meluaskan lagi peluang-peluang pekerjaan bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum juga dilaksanakan dalam strategi membasmi kemiskinan. Kerajaan telah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada semua kaum tanpa terikat lagi dengan dasar ekonomi pecah dan perintah penjajah. Maknanya, kaum Melayu diberi peluang luas menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan bidang-bidang lain yang sebelum ini kaum Melayu amat terikat dengan kegiatan pertanian sara diri di luar bandar. Begitu juga dengan kaum lain seperti Cina dan India turut diberi peluang mencebur diri dalam bidang ekonomi lain seperti bidang perkhidmatan dan perindustrian.

Di samping itu, kerajaan juga telah mengalakkan penyertaan semua kaum dalam sektor-sektor yang berpotensi tinggi dan daya pengeluaran yang tinggi seperti perniagaan, perindustrian dan juga perkhidmatan.[viii] Hal ini bertujuan agar rakyat Malaysia yang mempunyai modal yang besar digalakkan menceburkan diri dalam bidang berpotensi tinggi sekaligus membantu pembangunan ekonomi negara dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada semua kaum.

Strategi lain yang dilaksanakan dalam strategi membasmi kemiskinan ialah memajukan lagi daya pengeluaran golongan miskin yang seterusnya dapat meningkatkan pendapatan penduduk. Antara langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan ialah menambahkan peluang untuk menukarkan kegiatan yang mempunyai daya pengeluaran yang rendah kepada yang tinggi seperti rancangan tanah FELDA, FELCRA, projek perikanan dan ternakan moden; kegiatan perniagaan, pembuatan dan perkhidmatan moden; kemudahan bantuan kewangan dan teknik; serta peluang pendidikan dan latihan.

Kerajaan juga berusaha menambahkan daya pengeluaran dan pendapatan melalui teknik moden dan kemudahan-kemudahan yang lebih baik, dengan program-program tanaman padi dua kali setahun; tanaman padi luar musim; kemudahan parit dan tali air; kemudahan pasaran dan kredit demi membantu golongan bumiputera di kawasan luar bandar.

Strategi Menyusun Semula Masyarakat

Salah satu strategi menyusun semula masyarakat ialah menambahkan pemilikan rakyat dalam sektor swasta. Strategi ini bertujuan meningkatkan pemilikan kaum bumiputera sekurang-kurangnya 30% daripada jumlah saham dalam sektor swasta dan perniagaan. Perkara ini tidak bermakna menafikan hak bukan bumiputera kerana DEB juga jelas menggariskan bahawa penglibatan mereka boleh mencapai sehingga tahap 40% dalam tempoh yang sama dan selebihnya pelabur-pelabur asing.[ix] Hal ini disebabkan kaum bumiputera memang ketinggalan dalam pemilikan ekonomi sejak negara kita mencapai kemerdekaan.

Selain itu, strategi menyusun semula masyarakat juga termasuk membina satu masyarakat perdagangan dalam kalangan bumiputera. Matlamat untuk membentuk sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) telah disokong oleh kerajaan melalui pemberian kontrak,kuota dan lesen kepada perniagaan milik bumiputera dan syarikat usaha sama dengan bumiputera.

Antara langkah menjadikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat pedagang ialah menambahkan pemilikan bumiputera dalam ekonomi melalui penubuhan UDA dan pelancaran Permodalan Nasional Berhad dan Amanah Saham Nasional. Selain itu, Akta Penyelarasan Perindustrian (1975) juga telah diluluskan dalam tempoh DEB. Perkara ini jelas ingin memastikan penglibatan 30% bumiputera dalam pemilikan ekonomi tercapai. Kerajaan juga telah menyediakan beberapa pakej sokongan baru untuk mencapai matlamat ini seperti Dasar Persyarikatan Malaysia dan Dasar Penswastaan bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan sekaligus kadar pengangguran negara dapat dikurangkan.

Strategi lain dalam menyusun semula masyarakat yang pelbagai ras ialah membangunkan kawasan-kawasan yang selama ini mundur tetapi berpotensi tinggi. Antaranya ialah pembangunan wilayah.[x] Objektif rancangan dan pembangunan wilayah di bawah DEB adalah mengurangkan ketidaksamaan tingkat kehidupan di antara kawasan-kawasan dengan menggandakan kadar pertumbuhan yang berhubung dengan kawasan-kawasan yang kurang membangun, mengeksploitasi sepenuhnya potensi sumber-sumber tenaga manusia dan fizikal di kawasan kurang membangun dan dengan menyamaratakan agihan perkhidmatan-perkhidmatan dan kemudahan-kemudahan asas.[xi]

Perancangan Wilayah ini boleh terbahagi kepada tiga kategori iaitu:

1. Perancangan untuk pembangunan sumber-sumber kawasan seperti Johor Tenggara, Perak Utara, Melaka dan Utara Semenanjung.

2. Rancangan kawasan-kawasan utara atau pusat-pusat pertumbuhan, termasuklah Rancangan Lembah Kelang, Pelan Induk Pulau Pinang, Rancangan Johor Selatan dan Rancangan Kuantan.

3. Rancangan pembangunan pertanian untuk kawasan Perak hingga barat daya Johor.[xii]

DEB juga turut memberi ruang kepada pembangunan bandar, Kerajaan telah mencorakkan perbandaran-perbandaran baru dan pembinaan industri-industri baru supaya kepentingan kaum Melayu sentiasa diuatamakan. Kerajaan telah menitikberatkan latihan kemahiran kepada kaum Melayu agar mereka berkebolehan mengurus, mentadbir, atau memiliki perusahaan-perusahaan. Perkara ini telah mengalakkan penghijrahan orang Melayu dari luar bandar ke bandar. Orang Melayu yang berhijrah ke bandar pada umumnya terdiri daripada golongan msikin muda dalam lingkungan umur antara 20-30 tahun.[xiii]

Hal ini disebabkan tawaran kerajaan dalam DEB kepada mereka sangat baik sekaligus untuk membebaskan diri mereka daripada belenggu kemiskinan. Untuk mencapai matlamat itu, pelbagai institusi disaran memberi peluang kepada bumiputera iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Nasional (PERNAS), Federal Industrial Development Authority (FIDA), Malaysian Industrial Development Finance) dan Urban Development Finance) dan Urban Development Authority (UDA) yang menyediakan keperluan-keperluan teknikal dan bantuan kewangan kepada kaum Melayu dan bumiputera yang lain dalam bidang moden, sama ada secara keseluruhan ataupun secara usaha bersama.[xiv]

Di samping itu, dalam menyusun semula masyarakat kerajaan juga telah berusaha meluaskan lagi peluang-peluang pelajaran dalam dan luar negeri. Hal ini bermaksud kerajaan telah mengalakkan lebih golongan bumiputera melanjutkan pelajaran dalam dan luar negara demi menambahkan jumlah pekerja bumiputera dalam bidang profesional seperti guaman, perubatan dan lain-lain lagi. Kerajaan juga telah membina dan menyediakan lebih banyak sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dan juga turut menyediakan kemudahan sampingan yang lain bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dalam kalangan rakyat.

Bagi pelajar yang mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan, kerajaan turut menyediakan kemudahan biasiswa dan kerajaan turut memberi kuota kepada orang Melayu untuk melanjutkan pelajaran ke universiti awam.[xv] Hal ini juga disebabkan kaum bumiputera jauh ketinggalan ke belakang dalam bidang pendidikan dan ini juga menjadi asas penting kepada perubahan besar ekonomi Malaysia serta pemindahan secara beransur-ansur pekerja-pekerja Bumiputera ke sektor-sektor moden industri dan bidang yang diharapkan. Hasilnya daripada itu, kenaikkan pendapatan purata bulanan isi rumah kaum Melayu di Semenanjung adalah 5 kali ganda antara tahun 1970 dengan 1990, berbanding kaum Cina yang cuma 4 kali ganda pada tempoh yang sama. Dari segi guna tenaga, didapati kaum Melayu yang terlibat dalam sektor pertama, khususnya pertanian masih tinggi. Walau bagaimanapun, penglibatan kaum Melayu dalam sektor kedua dan ketiga telah bertambah. Keahlian bumiputera dalam kumpulan profesional seperti arkitek, akauntan, jurutera dan doktor di Malaysia juga telah berkembang dengan cepat.[xvi]

Kesimpulan

Tahun 1990, telah menandakan berakhirnya DEB yang menjadi asas rancangan pembangunan negara untuk jangka masa 1970 -1990 melalui zaman tiga Perdana Menteri iaitu Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohammad.[xvii] Secara keseluruhannya DEB tidaklah mencapai sasaran 100% matlamatnya, namun DEB telah berjaya dalam beberapa strategi yang dibuat dengan jayanya. Antara faktor yang dilihat mengekang dasar DEB ialah masalah kemeseletan ekonomi dunia yang berterusan sejak awal tahun 1980-an turut menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia.[xviii] Apa yang pasti, DEB banyak memberi pelbagai sumbangan kepada kehidupan masyarakat majmuk di negara kita sekali gus keamanan dapat dikekalkan sehingga hari ini. DEB tamat pelaksanaannya pada tahun 1990. Setelah tempoh Dasar Ekonomi Baru tamat, kerajaan telah menubuhkan Dasar Pembangunan Nasional yang merupakan usaha atau kesinambungan kepada perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Semangat DEB juga masih dikekalkan dalam pembangunan ekonomi negara pada masa kini dan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak sering kali menekankan semangat DEB wajar diteruskan demi pembangunan kaum bumiputera.



[i] Mohd. Shahari Ahmad Jabar et.al, Negara Kita : Sejarah, Pentadbiran dan Dasar Pembangunan, Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara, 1983, hal. 172.

[ii] Dasar Ekonomi Baru adalah satu formula yang dilancarkan oleh pihak kerajaan dalam tahun 1970 melalui RMK (1971 – 1975) untuk membetulkan ketidakseimbangan sosioekonomi yang wujud di negara kita ini antara kaum. Matlamat utama adalah Perpaduan Negara. Ibid.

[v] Nazaruddin Hj. Mohd Jali et.al, Pengajian Malaysia: Kenegaraan dan Kewarganegaraan Edisi Kedua, Selangor : Prentice Hal, 2004, hal. 282.

[vi] Syed Ibrahim (penerbit), Malaysia Kita, Petaling Jaya : International Law Book Seevices, 2007, hal. 317.

[vii] Bekalan kemudahan asas seperti elektrik, air, kesihatan dan pengangkutan dan perhubungan ternyata bertambah baik. Dari segi kemudahan elektrik , 80% daripada penduduk luar bandar di Malaysia telah menikmati bekalan elektrik pada tahun 1990. Dari segi kemudahan bekalan air bersih (paip), bagi tempoh 1970-1980 bilangan yang mendapat bekalan air telah bertambah. Memandangkan kepesatan permintaan kemudahan ini, maka hampir di setiap negeri terdapat projek besar pembekalan air. Jumlah keupayaan pengeluaran loji pembersihan telah dipertingkatkan dan perbekalan air ke rancangan FELDA juga diperluas dalam http://www.slideshare.net/shahrulasyikin/dasar-ekonomi-baru.

[viii] Nazaruddin Hj. Mohd Jali et.al, Pengajian Malaysia: Kenegaraan dan Kewarganegaraan Edisi Kedua, Selangor : Prentice Hal, 2004, hal. 282.

[ix] Ibid.

[x] Pendapatan purata bulanan isi rumah di wilayah yang mundur seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah telah meningkat, walaupun peningkatan masih belum mencapai tingkat memuaskan. Pendapatan di Kelantan meningkat daripada RM269 pada tahun 1976 kepada RM726 pada tahun 1990. Terengganu pula meningkat sebanyak RM566 pada tempoh yang sama. Taraf KDNK per kapita Malaysia keseluruhannya juga semakin bertambah baik dalam http://www.slideshare.net/shahrulasyikin/dasar-ekonomi-baru .

[xi] Ahmad Idris. Dasar Ekonomi Baru, Selangor : IBS Buku Sdn. Bhd, 1988, hal. 19.

[xii] Ibid, hal. 28.

[xiii] Sanusi Othman, “Dasar Ekonomi Baru dan Pencapaian Orang Melayu Di Kota” dalam buku Pembangunan Di Malaysia : Perencanaan, Pelaksanaan dan Prestasi, Kuala Lumpur : Persatuan Sains Sosial Malaysia, 1987, hal. 106.

[xiv] Chamhuri Siwar dan Surtahman Kastin Hasan, Ekonomi Malaysia Edisi Kedua, Selangor : Longman, 1988, hal, 145.

[xv] Mukhriz Mahathir dan Khairy Jamaludin (Penyunting), Dasar Ekonomi Baru Intipati, Kuala Lumpur: Utusan Publication, 2004, hal. 55.

[xvii] Mohd . Yusof Kasim dan Md. Zyadi Md. Tahir, Ekonomi Malaysia Beberapa Isu Utama, Bangi : Penerbit UKM, 1992, hal, 63.

[xviii] Zulkifli Osman “Masalah Semasa Dasar Ekonomi Baru” dalam buku Nik Hashim Mustapha dan Zulkifly Osman, Dasar Ekonomi Malaysia, Bangi : Penerbit UKM, 1989, hal. 161.

BIBLIOGRAFI

Rujukan Buku:

Ahmad Idris. 1988. Dasar Ekonomi Baru, Selangor : IBS Buku Sdn. Bhd.

Chamhuri Siwar dan Surtahman Kastin Hasan, 1988. Ekonomi Malaysia Edisi Kedua, Selangor : Longman.

Mohd. Shahari Ahmad Jabar et.al, 1983. Negara Kita : Sejarah, Pentadbiran dan Dasar Pembangunan, Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara.

Mohd. Yusof Kasim dan Md. Zyadi Md. Tahir, 1992. Ekonomi Malaysia Beberapa Isu Utama, Bangi : Penerbit UKM.

Mukhriz Mahathir dan Khairy Jamaludin (Penyunting), 2004. Dasar Ekonomi Baru Intipati, Kuala Lumpur: Utusan Publication.

Nazaruddin Hj. Mohd Jali et.al, 2004. Pengajian Malaysia: Kenegaraan dan Kewarganegaraan Edisi Kedua, Selangor : Prentice Hal.

Sanusi Othman, 1987. “Dasar Ekonomi Baru dan Pencapaian Orang Melayu Di Kota” dalam buku Pembangunan Di Malaysia : Perencanaan, Pelaksanaan dan Prestasi, Kuala Lumpur : Persatuan Sains Sosial Malaysia.

Syed Ibrahim (penerbit), 2007. Malaysia Kita, Petaling Jaya : International Law Book Seevices, 2007.

Zulkifli Osman “Masalah Semasa Dasar Ekonomi Baru” dalam buku Nik Hashim Mustapha dan Zulkifly Osman, 1989. Dasar Ekonomi Malaysia, Bangi : Penerbit UKM.

Rujukan Internet:

http://ms.wikipedia.org/wiki/Dasar_Ekonomi_Baru

http://www.slideshare.net/shahrulasyikin/dasar-ekonomi-baru

4 comments: